Hadith:
Dari Abdullah bin Umar katanya:Adalah kaum muslimin ketika baru sampai
di kota Madinah, berkumpul menunggu waktu sembahyang kerana belum ada
cara untuk memberitahu. Pada suatu hari mereka itu bermesyuarat tentang
cara pemberitahuan waktu; ada yang mengatakan supaya menggunakan loceng
seperti Nasrani dan ada pula yang mengatakan supaya menggunakan trompet
seperti Yahudi. Maka berkata Umar bin al-Khattab r.a: Bukankah lebih
baik menyuruh seseorang meneriakkan atau memberitahukan waktu
sembahyang? Bersabda Rasulullah s.a.w:Hai Bilal, pergilah dan ajaklah
orang-orang bersembahyang.
Huraian Hadith:
Ketika orang-orang Islam masih sedikit jumlahnya, kesulitan tidak
timbul untuk mereka berkumpul bersama-sama bagi menunaikan solat secara
berjemaah. Namun semakin hari semakin banyak bilangan orang-orang Islam
sehingga timbullah masalah untuk memanggil atau mengingatkan mereka
untuk menunaikan solat pada waktunya. Al maklum setiap orang mempunyai
potensi terhadap kealpaan ataupun kelalaian pada diri masing-masing
disebabkan oleh berbagai-bagai urusan kehidupan yang dijalani mereka.
Oleh sebab itu wujudlah mesyuarat yang membincangkan tentang keperluan
bagaimana cara yang harus dilakukan untuk mengingat dan memanggil semua
orang untuk solat tepat pada waktunya. Ada banyak cadangan yang
diusulkan seperti yang diceritakan di dalam hadis. Salah satu daripada
usul itu datang dari Umar r.a yang mencadangkan agar ditunjuk seseorang
yang bertindak sebagai pemanggil kaum Muslim untuk solat pada setiap
masuknya waktu solat. Saranan ini kebanyakannya dipersetujui oleh semua
orang, termasuk Rasulullah s.a.w. memandangkan banyak cadangan-cadangan
yang lain lebih mirip kepada kaum kafir. Namun yang menjadi persoalannya
kini ialah bagaimana perlaksanaannya? Abu Dawud mengisahkan bahawa
Abdullah bin Zaid r.a meriwayatkan :"Ketika cara memanggil kaum Muslimin
untuk solat dimusyawarahkan, suatu malam dalam tidur aku bermimpi
melihat ada seseorang sedang memegang sebuah loceng. Aku dekati orang
itu dan bertanya kepadanya apakah ia ada maksud hendak menjual loceng
itu. Jika memang begitu aku memintanya untuk menjual kepada aku saja.
Orang tersebut malah bertanya," Untuk apa ? Aku menjawabnya, "Bahawa
dengan membunyikan loceng itu, kami dapat memanggil kaum Muslimin untuk
menunaikan solat." Orang itu berkata lagi, "Adakah kau mahu jika ku
ajarkan cara yang lebih baik ?" Dan aku menjawab " Ya !"Lalu dia berkata
lagi, dan kali ini dengan suara yang amat lantang , " Allahu Akbar,
Allahu Akbar.." Ketika esoknya aku bangun, aku menemui Rasulullah s.a.w
dan menceritakan perihal mimpi itu kepada baginda. Dan baginda bersabda:
"Itu mimpi yang sebetulnya nyata. Berdirilah di samping Bilal dan
ajarkan dia bagaimana mengucapkan kalimat itu. Dia harus mengumandangkan
azan seperti itu dan dia memiliki suara yang amat lantang." Lalu aku
pun melakukan hal itu bersama Bilal." Rupanya, mimpi yang serupa dialami
pula oleh Umar r.a, beliau juga menceritakannya kepada Rasulullah
s.a.w. Baginda s.a.w bersyukur kepada Allah SWT di atas semua petunjuk
tersebut.